Pages

Friday, February 12, 2010

SOLAT DHUHA.

MADAH MUQADDIMAH.

Jam menunjukkan 5.29 pagi,9 degree .Ummi baru selesai solat subuh sebentar tadi.Alhamdulillah..mulakan hari anda dengan Bismillah,dan akhiri hari anda dengan alhamdulillah.

Sebenarnya minggu ini adalah minggu yang agak penat bagi ummi.Yerlah ummi sudah ada tanggungjawab baru ni, kena pandai bahagikan masa dengan sebaiknya.Namun yang penting ummi seronok! Work smart, not work hard!!!

CORETAN UMMI.

Oklah kali ini ummi nak tepek tazkirah tentang solat dhuha.Seseorang pernah bertanya pada ummi, "Puan, En x tu solat apa masa-masa begini.( jam 10 pagi di Malaysia )Setiap hari saya nampak En x solat.Rajin sungguh dia solat.Solat hajat agaknya,nak kata solat zuhur, belum masanya lagi".Ummi tergelak sekejap.Namun perasaan simpati datang mengenangkan kejahilannya itu.Mungkin tidak pernah terdedah tentang pengetahuan sebegini walaupun usia sudah mencecah 35 tahun. Ummi yakin dan percaya  para pembaca blog ummi semuanya tahu dan arif tentang solat ini. Sekiranya ada yang belum tahu, ambiklah panduan ini dan cuba laksanakan.Moga ummi juga diberi kesempatan dan keizinan untuk melaksanakan solat ini setiap hari, amin!!!

Maka di sini ummi tepekkan tentang solat dhuha ini.Semoga ada manfaatnya untuk kita bersama..

TAZKIRAH.

Ummi C&P dari sini.





Ruang waktu dan waktu afdal



Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.







Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).







Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.



Cara melaksanakannya



Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.







Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)







Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.




 





Doa yang disarankan









“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

 

* Coretanku



Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…



Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”



Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.



Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.



Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA.. ameennn…

KELEBIHAN SOLAT DHUHA.
 Sumber : sini.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:







“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”

(Riwayat Ahmad)


Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.



Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:




“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

 
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

 
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

 
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)




Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”


Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”



(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

 


Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

 
(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)




Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.




Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)






Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).






 

2 comments:

~PakKaramu~ said...

Salam ziarag dari Pak Karamu

ummu faqeh said...

terimakasih Pak Karamu..