Pages

Sunday, February 7, 2010

TAKUTKAN HANTU!!!

MADAH MUKADDIMAH.

Alhamdulillah..jam menunjukkan 4.30 pagi, 1 degree skg.Sekejap lagi azan subuh berkumandang. Seronoknya tengok template baru ummi.Alhamdulillah..setelah puas ummi mencari-cari template baru, akhirnya ini yang berkenan di hati.

CORETAN UMMI.

Sebelum tidur tadi, Kak Jannah bertanyakan "Allah ada di mana ummi?Allah warna apa ummi".Beberapa minit kemudian, Kak Jannah yang sudah terlelap seketika mengadu pada ummi "Ummi, Jannah mimpi hantu tadi.Jannah takut sangat, nak pegang tangan ummi boleh tak?" " Jangan takut Kak Jannah, Allah ada dengan kita, Allah nampak apa yang kita buat, itu hanya mimpi semata-mata, nanti Kak Jannah bangun dia tak adalah.Kak Jannah baca doa banyak2, selepas itu , ingat Allah banyak2".
Ok, Kak Jannah nak doa sekarang "Ya Allah, jangan bagi Jannah mimpi2 buruk lagi Ya Allah"

Alhamdulillah..memang menjadi rutin sebelum tidur sekarang kami anak beranak akan membaca doa sebelum tidur, surah Al-Fatihah, 3 Qul, ,Ayatul Kursi.Selepas itu lagu sayang-sayang.Nak tahu lagu tu, kena tanya adik Faseh, pakar nyanyi.Selepas semuanya selesai, Kak Jannah akan bercerita tentang cerita haiwan-haiwan kesayangannya.
Huhu..bercerita, menyanyi dalam kegelapan sebelum tidur."Mumtaz ya syathir...Kak Jannah, Ummi, Abang Faqeh, Adik Faseh , Abi saya...ng!!!

Pernah juga Kak Jannah bangun pagi dan beritahu pada ummi "Semalam Jannah rasa nak kencing, tapi Jannah tahan" "Kenapa?" "Jannah doa pada Allah " Ya Allah,jangan bagi Jannah kencing malam ini.Tahanlah sampai pagi esok "..huhu.. pulak dah..pandai betul anak ummi ini berdoakan..


PENGISIAN ROHANI.


“Heee…. hantu! Hantu!”, bapa mengacah anak yang bermain di dalam bilik.
“Huaa!!!”, bertaburan si anak melarikan diri kerana takutkan hantu.
Biasalah itu. Cara mudah untuk ibu dan bapa mengawal anak, takutkan mereka dengan hantu.



Walhal si anak bukan pernah melihat hantu. Ibu bapa itu pun berkemungkinan besar tidak pernah bertemu hantu. Tetapi entah mengapa, takut benar si anak dengan hantu, berbakat sungguh si ibu dan bapa menakutkan anak-anak mereka dengan apa yang mereka sendiri tidak pernah lihat, tidak pernah jumpa.
Jika hantu yang tidak pernah diketemui itu, boleh digambarkan dengan begitu kreatif oleh ibu bapa dan anak, mengapa mereka tidak kreatif memperkenalkan kepada si anak, soal TUHAN.
Asyik-asyik hantu. Bagaimana Tuhan?
GHAIB
Sama ada hantu atau Tuhan, kedua-duanya adalah persoalan ghaib. Mempercayai sesuatu yang ghaib itu adalah sulit bagi ahli material, tetapi fitrah bagi yang memahaminya.




Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)” [Al-Baqarah 2: 55]


 
Yahudi itu tidak mampu mengimani Allah SWT. Mereka hanya boleh mempercayai apa yang dapat dilihat dengan pancaindera penglihatan mereka. Mereka mahukan Tuhan yang boleh disaksikan oleh mata.


 

Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam [Al-Maidah 5: 17]

Manakala Nasrani pula bertuhankan manusia berjasad yang bernama al-Masih bin Maryam. Telah kufurlah mereka kerana kepercayaan itu, bahasa al-Masih itu Allah, atau anak Allah.
Yahudi dan Nasrani tidak mampu mengimani Allah kerana cacat mereka pada keupayaan mengimani perkara ghaib, sebagaimana sekalian Majusi, iaitu istilah Syara’ yang merujuk kepada sekalian musyrikin selain Yahudi dan Nasrani.


 
FITRAH
Lantas kita sampai kepada ingatan Nabi S.A.W. tentang hakikat ini di dalam sepotong hadith yang sering dibaca:


 






“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi…” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari)


 
Ibu bapalah yang berperanan menjadikan anak itu mempercayai Tuhan sama ada secara Yahudi, Nasrani, Majusi, atau kekal di atas fitrah yang asal dan luhur.


 

Di sinilah timbulnya perbahasan popular semasa, iaitu bagaimana kita mahu memperkenalkan Allah kepada anak-anak? Seminar demi seminar diadakan, dengan maksud mahu menterjemahkan keutamaan Aqidah kepada Allah sebagai asas utama pendidikan, termasuklah kepada anak-anak.


Jika ibu bapa begitu kreatif memperkenalkan hantu kepada anak-anak, bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka memperkenalkan Tuhan?


TAUHID UNTUK SI ANAK
Apakah mahu disulitkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Sifat 20 kepada si anak kecil? Apakah mahu dipeningkan persoalan ini dengan mencari formula menterjemahkan perbahasan Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT kepada si anak?

Apabila Nabi SAW telah memperingatkan bahawa anak-anak itu lahir di atas fitrah, maka fahamlah kita bahawa sebenarnya keupayaan mengimani Allah SWT oleh anak-anak kecil ini adalah sebahagian daripada fitrah itu. Anak-anak sudah secara fitrahnya bersedia dan mampu mengimani Allah sebagai Tuhan. Itu fitrah mereka.


Maka ibu bapa tidak perlu memeningkan kepala mencari formula mahu menyedarkan si anak kecil tentang apa atau siapa itu Tuhan, kerana anak-anak dengan fitrah mereka, sudah pun mengimaninya tanpa kita sedar. Lantas tugas ibu bapa ialah memupuk dan memperkembangkannya, tetapi harus didahului dengan suatu peringatan, JANGAN DIROSAKKAN FITRAH ITU.

Jangan dirosakkan kesediaan anak-anak untuk mengimani Allah. Salah satu cara fitrah itu dirosakkan oleh si ibu dan si bapa ialah apabila kesediaan anak mengimani TUHAN, digantikan dengan HANTU.

TIDAK TAHU SYAK DAN WAHAM
Anak-anak bukan makhluk yang ada upaya syak dan waham. Itu penyakit orang dewasa. Anak-anak itu berada di dalam mood percaya atau tidak percaya. Itu sahaja. Apa sahaja yang ditanam oleh ibu bapa, itulah yang menjadi kepercayaan si anak. Jika mahu anak percayakan Tuhan dan terus mengimani-Nya, maka pupuklah kepercayaan itu dengan menyuburkan fitrah mereka kepada mempercayai Allah sebagai Tuhan, bukannya si anu si anu sebagai hantu.

“Kalau kita buat baik, Allah sayang. Allah suka anak yang buat baik kepada ibu bapa”, saya memberitahu Saiful Islam dan Naurah.
“Abi, cikgu cakap, orang yang ingat Allah itu power. Syaitan tak dapat kalahkan dia”, balas Saiful Islam.

Syukur, anak saya bersekolah di PASTI. Pengisiannya menyuburkan fitrah anak-anak.

Setiap kali saya bercakap tentang Allah dan tentang syaitan kepada anak-anak, mereka menerima dan kemudian bercerita kembali dengan penuh yakin.
Sama juga jika saya bercakap tentang hantu kepada mereka. Yakin juga.
Maka, binalah kepercayaan anak-anak kepada Allah sebagai Tuhan dengan memupuk keyakinan mereka. Mereka adalah makhluk yang yakin, maka peliharalah keyakinan anak-anak agar terdorong kepada yang Haq, hinggalah mereka mencecah dewasa. Ketika anak meningkat dewasa dan terdedah kepada pelbagai cabaran, maka haruslah kepercayaan itu diperkemaskan dengan reasoning dan soal jawab yang sesuai dengan tahap ketika itu.

Sesungguhnya, sikap ibu bapa yang lebih banyak menyebut HANTU berbanding TUHAN kepada anak-anak kecil mereka, adalah perbuatan yang mendorong anak itu kepada Yahudi, Nasrani juga Majusi.


 

HARRY PORTER

Di negara Barat, era semenjak tahun 2000 memperlihatkan bagaimana kemunculan filem-filem fantasi sama ada ala-ala Harry Potter, mahu pun filem seram berkenaan hantu dan syaitan semakin popular dan menjadi-jadi. Tentu sahaja di kaca mata kita, ia suatu perkembangan yang tidak sesuai dengan nilai kita sebagai Muslim. Tetapi pengamatan yang lebih teliti, akan memperlihatakan bahawa kemunculan filem fantasi seperti ini, sebenarnya adalah kesan daripada krisis dualisma yang membelenggu mereka sejak sekian lama.


 

Kehidupan yang sangat materialistik, telah begitu lama menjadikan jiwa masyarakat Barat ditimpa kemarau. Mereka hilang daya melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, lantas seiringan dengan itu, mereka gagal mengimani apa yang berada di luar capaian deria manusia. Mereka hilang upaya memahami Tuhan, kehidupan selepas kematian dan segala-gala yang ghaib sifatnya.


 

Tatkala Intellectual Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ) sudah tidak lagi mampu berdiri sebagai sumber kekuatan dan kecemerlangan mereka, masyarakat Barat sedang bertatih untuk mencari panduan di dalam Spiritual Quotient (SQ) mereka.

Kemunculan banyaknya filem hantu dan syaitan di Barat adalah eksplorasi mereka terhadap dunia Spiritual.

Jika Barat terbelenggu dengan hantu kerana mencari Tuhan, mahukah kita sekapal dengan mereka dalam mengelirukan anak di antara HANTU dan TUHAN?

“Eee… abi takut Tuhan!”

Kan lebih sedap dan fitrah bunyinya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com



56000 Kuala Lumpur





4 comments:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli said...

hantu x pernah wujud.. tapi karakter hantu saja diwujudkan untuk menakut2kan.. ada kebaikan die dan ade keburukan die.. same2lah kita fikirkan.. tapi perlulah karakter nie diwujudkan pada waktu2 yang sesuai demi menyedarkan anak yang tersayang.. aha!~ :)

Putera Melaka,
Blog - http://www.puteramelaka.co.cc/
e-Store StormReaders - http://www.stormreaders.net/zulfadhli

Miliki buku2 ilmiah karya ikon2 popolar seprti Dr. Fadzilah Kamsah, Dr. Irfan Khairi, Ustaz Ismail Kamus, Ustazah Siti Norbahyah & lain2 di http://www.stormreaders.net/zulfadhli sekarang!

Herdoni said...

Posting yang sangat menarik. Sebagai referensi dan bahan renungan orang tua dalam membimbing dan mendidik buah hatinya.

ummu faqeh said...

zulfadhli-benar..hantu tak pernah wujud..namun anak2 kecil percaya akan kewujudannya...

ummu faqeh said...

herdoni-semoga ada manfaatnya bersama dlm mendidik anak2 tersayang yang bakal menjadi anak soleh dan solehah yang bisa membahagiakan ibubapanya dunia akhirat, amin!