jam menunjukkan 4.00 pagi.kejap lagi nak masuk subuh dah.hari ni dah masuk hari raya korban yang ke3.Masih lagi kedengaran takbir raya yang menyentuh sanubari.( pasang mp3 guna handset-takbir import Malaysia!!!)takbbir kat sini berlainan daripada Malaysia, kat sini lebih keras dan bersemangat!Kat sini ummi copy pastekan 2 artikel yang saling berkaitan.KEBINATANGAN!!!
SEMBELIHLAH SIFAT KEBINATANGANMU
sumber dari sini.
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Surah Al-Hajj Ayat 37
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Surah Al-Hajj Ayat 37
Tafsiran Ringkas :
Allah tidak menginginkan sesuatu dari makhluk, samada berupa daging dan darah binatang korban mahupun hadiah.Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan di bumi, juga antara keduanya. Sebaliknya makhluklah yang memerlukan pertolongan dan bantuan dari Allah.
Menyembelih binatang korban itu dihubungkan dengan sifat ikhlas dan taqwa. Keikhlasan adalah syarat sesuatu amalan diterima. Iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah. Tidak kerana yang lainnya. Manakala takwa pula sifat berhati-hati dalam semua tindakan yang berkaitan hati, perbuatan dan percakapan, khuatir mendapat kemurkaan Allah.
Perbuatan menyembelih korban, dapat mempengaruhi batin manusia, iaitu hati, kerana dapat menjadikan hati menjadi gementar ketika nama Allah disebut. Mengakui kebesaran dan keagungan Allah, menyedari kekerdilan dan kelemahan diri.
Korban juga menjadi lambang kerelaan diri untuk mengorbankan hidup, dan segala sesuatu yang dimiliki untuk membela kebenaran atau yang hak. Tentunya berdasarkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Walau sesukar mana cabaran dan dugaan yang dihadapi dalam menegakkan kebenaran itu, hati tetap teguh dan tidak mudah goyah. Keazaman tetap kuat untuk menegakkan kebenaran, bibir tetap tersenyum dengan kesabaran yang indah.
Waktu korban yang telah ditentukan waktunya, ini bermaksud agar seluruh hati kaum Muslimin seluruh dunia berdenyut dalam waktu yang sama untuk melaksanakan satu cita-cita. Dengan demikian, ibadah korban memimpin manusia untuk mengembangkan cita-cita berkorban untuk kepentingan ummah secara keseluruhan. Tidak hanya memikirkan kepentingan peribadi.
Binatang yang dikorbankan melambangkan sifat kebinatangan dalam diri, maka dengan menyembelih binatang korban mengingatkan kepada manusia untuk menyembelih sifat kebinatangan dalam yang ada dalam diri. Biarlah sifat-sifat kotor seperti buas, tamak, rakus itu mengalir keluar dari tubuh kita sebagaimana darah yang mengalir ketika terputusnya urat marih dan halkum binatang korban.
Sembelihlah sifat kebinatangan yang ada di dalam diri kita. Jadilah Manusia yang Allah Sayang.
CCTV rakam amah hempas bayi ke lantai
Sumber: Berita Harian Online
dari blog sini.
TANJUNG MALIM: Seorang bayi perempuan parah selepas dipercayai didera pembantu rumah yang bertindak menghempasnya ke lantai sebelum mengangkat bayi malang itu dengan menarik rambutnya yang kemudian dihumban keluar dari bilik tidur ke ruang tamu di Jalan Kempas, Proton City, dekat sini.
Perbuatan kejam pembantu rumah warga Indonesia berusia 30-an itu disyaki dilakukan kira-kira jam 6 petang pada Selasa lalu ketika bayi berkenaan nyenyak tidur di atas katil manakala ibu bapa bayi berusia setahun lapan bulan itu masih di tempat kerja masing-masing.
Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan, berkata perbuatan terhadap bayi bernama Allysa Idrina Azizan itu dikesan ibunya selepas menonton semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah mereka ekoran melihat kecederaan teruk pada tubuh anaknya.
Katanya, sebelum itu, bapa mangsa yang bekerja di sebuah bank di Teluk Intan diberitahu isterinya bahawa terdapat kesan lebam pada muka dan pipi anak mereka manakala biji mata kanannya berdarah selepas isterinya pulang dari bekerja.
"Ibu mangsa bersama pembantu rumah itu yang baru lapan bulan bekerja dengannya membawa Allysa ke sebuah klinik di pekan ini dan hasil pemeriksaan awal doktor mengesahkan kesan kecederaan pada muka dan mata bayi itu disebabkan terjatuh atau terkena hempasan atas permukaan keras .
“Oleh kerana tidak sedap hati dengan laporan doktor, , ibu mangsa melihat semula rakaman CCTV dalam rumahnya dan terkejut melihat pembantu rumahnya menarik kaki anak perempuannya yang tidur lalu menghempasnya ke lantai dan beberapa minit kemudian kelihatan wanita itu menarik rambut bayi perempuan itu sehingga terangkat kedua-dua kaki lalu mencampaknya dari bilik sehingga ruang tamu dengan kejam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Tanjung Malim, semalam.
Mohd Ali berkata, oleh kerana ketakutan ibu mangsa menelefon jiran meminta menemaninya dan menelefon suaminya di Teluk Intan sebelum membuat laporan di Balai Polis Behrang Stesyen kira-kira jam 1 pagi kelmarin.
Katanya, polis menahan pembantu rumah yang berasal dari Bandung itu kira-kira jam 2.15 pagi hari sama dan direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment