Insya Allah esok ummi dan abah Asiah akan berangkat menuju ke tanah suci.Doa kami agar semuanya berjalan lancar dan diberkati Allah hendaknya.
Doakan juga agar kami diberi keizinan untuk ke tanah suci Mekah pada tahun2 akan datang,Insya Allah.Ramai pelajar Malaysia yang mengambil peluang keemasan yang tak ternilai ini untuk menunaikan haji apabila sudah berada di Jordan ini.
Memandangkan jarak untuk ke Tanah Suci Mekah tidaklah jauh dari bumi Jordan ini.Naik bas memakan masa sehari.Dan kosnya tidak mahal,di bawah RM 4 ribu sahaja.Rugi kalau tidak mengambil peluang ini.
Ya Allah,permudahkanlah urusan Ummi dan abah Asiah dan sahabat2 lain yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini.Insya Allah, di tahun2 hadapan, sampai pula giliran kami..
Di sini ummi tepek gambar mereka bertiga.Penawar kerinduan kepada Asiah!Ummi curik gak dari blog mereka.
Juga di sini ummi letakkan coretan renungan perjalanan haji seorang hamba Allah dari 2hb hingga 31hb Disember 2008.Kisah lanjutnya boleh dibaca di blog ini. Catatan ini juga telah dibukukan.Ummi pun baru nak baca keseluruhan coretan ini.Semoga ada pengajarannya di sebalik kisah benar ini.
2 Disember 2008
Hari 1 :
Ibarat Jenazah Yang Dilayat
Aku dan Aini bertolak ke Lapangan Terbang Changi pada pukul 12 dinihari. Anakku, Muhammad Qory, yang berusia 13 tahun membacakan azan ke telinga ku dan Aini di pintu rumah. Suaranya yang sayu mengiringi perpisahan kami. Dalam kesyahduan azan, aku berdoa agar Allah memelihara beliau dan adiknya, Siti Nur Iman, yang akan mencecah 11 tahun. Mereka aku titipkan dengan mentuaku untuk dijaga.
Di Lapangan Terbang Changi kami disambut oleh ahli keluarga lain dan sahabat- handai. Menjadi lumrah; orang yang menghantar lebih ramai dari yang pergi. Keadaan di lapangan terbang sungguh sesak sekali.
Fikiran ku melayang seketika melihat suasana : Kita dirai ke sana (Mekah) seperti jenazah yang dilayat, berbekalkan dua helai kain putih yang tidak berjahit. Ada yang 'menghantar' sekadar menelefon dan mengucapkan selamat jalan. Ada yang 'menghantar dengan doa' di rumah. Kemudian, ada pula yang menanti di lapangan terbang untuk memberi salam perpisahan (ibarat menunggu jenazah di tanah perkuburan). Ucapan-ucapan terakhir dan doa disampaikan. Berpelukkan. Berlinangan airmata mengiringi. Tetapi, pada akhirnya, kita sahaja yang meneruskan perjalanan - seperti jenazah yang melalui alam barzakh bersendirian. Paspot dicop dan dikenalpasti. Beg-beg baju dimasukkan ke kapalterbang menyamai 'bekalan ibadah' yang kita bawa bersama semasa mati. Sebanyak mana kita bawa, rasanya tidak akan mencukupi. Kita hanya dapat berserah, berbekalkan taqwa dan mengharap Rahmat-Nya.
Aku disedarkan dari renungan dengan dakapan adik-beradik dan sahabat-handai. "Untung kau, Li. Dapat pergi lagi," sapa seorang rakan haji tahun 2004 yang lalu. "Kalau kat sana, jangan lupa seru nama aku banyak-banyak!" sambungnya berseloroh. Aku hanya tersenyum kerana hati sudah mula berdebar-debar untuk berangkat pergi. Bila Allah yang mengundang, seruan-Nya sahaja mencukupi.
3 Disember 2008
Hari 2 :
Lambaian Kaabah
10:00 malam
Aku dan rombongan sampai ke Hotel Zam Zam Suites Mekah. Kami disambut sekumpulan anak-anak muda berbangsa Indonesia. Ustadz menggelarkan mereka 'anak-anak panitia' - atau ahli kommiti. Mereka diminta khas oleh Ustadz Shafi untuk membantu kami semasa perjalanan haji tahun ini. ‘Anak-anak panitia’ ini sebenarnya bertugas di Mekah. Mereka telah mengambil cuti panjang untuk membantu. Ada juga yang telah diberikan lepasan khusus oleh pihak majikan yang menggalakkan mereka berkhidmat untuk jemaah haji.
Selepas makan malam, jemaah diminta langsung ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat jama’ maghrib dan isyak. Hatiku berlonjak untuk melihat Kaabah sekali lagi. Ibarat kekasih yang terpisah bertemu semula. Aku pasti jemaah lain juga merasakan yang sama; tidak percaya kita sudah pun sampai ke tempat yang dituju.
Kami bergerak bersama kearah Masjidil Haram yang terletak lebih kurang 100 meter dari hotel kami, Alhamdulillah. Perkarangan Masjid terang-benderang disinari cahaya dari lampu-lampu spotlight, seperti pengganti bulan yang masih muda.
Kawasan Masjid agak lengang. Mungkin kerana ada yang sudah pulang ke hotel selepas solat isyak. Tetapi, masih ada juga yang bersembang-sembang di luar Masjid. Mereka berbual dengan bahasa dan loghat yang berbeza-beza. Inilah tempatnya warga dunia berbilang kaum berhimpun.
Kebanyakkan kaum lelakinya seperti kami, berkain ihram. Tidak kurang juga yang memakai baju biasa. Aku kira mereka telah pun selesai mengerjakan umrah, mengambil haji tammattu’ .
Semasa menjejakkan kaki di pintu Masjidil Haram hatiku mengucapkan syukur kerana mendapat undangan Allah sekali lagi. Aku berdoa agar ini bukanlah kali terakhir aku ke sini. Hati menjadi semakin berdebar. Setiap langkah kehadapan mendekatkan aku kepada Kaabah-Mu, ya Allah!
Itu dia! Bangunan yang didirikan kekasihMu Ibrahim a.s! Kaabah-Mu, yang menjadi kiblat setiap Muslim. Tempat lautan manusia berputar ke arah yang satu. Aku tidak dapat berkata apa-apa, hanya mengucapkan syukur dengan linangan airmata yang tidak terbendung. Tidak sangka kita berjumpa lagi.
Dalam aku melepaskan rindu, hati kecil ini mengingatkan kenapa aku kesini. Kaabah ibarat suatu perhiasan yang tidak ternilai yang disimpan Tuan Rumah. Ianya menjadi tumpuan kita yang menziarahi. Memandangnya menyejukkan hati dan perasaan. Tetapi jangan sampai aku terlupa kepada Sang Pemiliknya yang menjadi tujuan asal aku ke sini! Astarghfirullah!
Labbaik Allah humma labbaik. Aku datang memenuhi undangan-Mu ya Allah. Aku ke sini untuk bersama-Mu, berkat dari rezeki-Mu. Aku hadirkan diriku di dalam Rumah-Mu ini dengan seribu harapan dan keinsafan. Adakah Engkau redha menerima kehadiran ku ini?
Aku dan jemaah segera menyusun saf. Ustadz Shafi mengimamkan solat. Beberapa jemaah asing ikut serta dalam saf kami. Ustadz sekali lagi mengingatkan tatacara bersolat jama’ – mungkin untuk memberitahu jemaah asing ini tujuan solat kami agar mereka tidak keliru.
Selepas solat dan berdoa, Ustadz mengingatkan kami untuk pulang ke hotel supaya berehat dan mengumpul tenaga untuk tawaf qudum ( tawaf selamat datang ) esok pagi. Aku dapat rasakan ramai antara jemaah yang agak keberatan untuk berganjak tetapi keletihan perjalanan dari Singapura ke Mekah sudah terasa. Aku dan Aini berdiri seketika menghadap Kaabah sambil memanjatkan doa. Hatiku memberi lambaian selamat malam, berjanji untuk kembali ke Masjid awal-awal pagi esok.
30 Disember 2008
Hari 29 :
Renungan Pengajaran Haji
11:10 pagi.
Aku, Aini dan rombongan sedang menuju ke Jeddah. Esok kami akan berangkat pulang ke Singapura. Rasanya masa begitu cepat berlalu. Di sebalik rasa rindu kepada anak-anak dan tanah air, tersemat juga rasa mengharap agar ibadah yang semakin mantap ini dapat aku kekalkan.
Apakah pengajaran haji tahun ini bagiku?
1. Berserah kepada Allah – Semakin terasa nikmatnya dalam berserah kepada-Nya dan menerima apa yang Beliau susunkan bagiku. Aku belajar melepaskan pergerakkan ku dengan bertawakkal; mendengar kata hati sebagai bimbingan Allah dan mempercayai ianya yang terbaik bagi ku.
2. Melepaskan dan memaafkan – Tawaf banyak mengajarku untuk melepaskan perasaan sakit hati walaupun teraniaya. Memaafkan membantu aku untuk memulakan langkah selanjutnya. Memaafkan melepaskan aku dari bebanan perasaan marah dan kecewa. Aku menghadapi apa yang berlaku pada diriku dengan berlapang dada. Ini adalah pengajaran yang aku perlu terus praktikkan sekembalinya aku ke tanah air.
3. Bertenang-tenang dalam melakukan sesuatu – Ibadah yang tenang membawa kepada ketenangan yang lebih mendalam. Kepada-Nya sahaja segala tumpuan dalam ibadah. Bertenang membantu aku untuk fokus kepada apa yang aku perlu lakukan.
4. Nikmati dengan kesyukuran – Bersolat itu melepaskan rasa syukur aku kepada Allah. Ibadah bukan terpaksa dan dipaksa-paksa. Aku akur bahawa segala pujian hanya kepada-Nya dan segala nikmat adalah dari-Nya. Aku percaya Allah akan menambah lagi nikmat bagi orang-orang yang bersyukur .
5. Terima dan redha – Apabila aku dapat menerima apa yang berlaku kepada diriku, aku menyatakan keredhaanku. Dengan perasaan redha pula aku melepaskan segala yang negatif yang akan menghambatku untuk meneruskan kehidupan.
6. Lihat yang positif – Semuanya yang berlaku adalah baik untuk diriku dan ada hikmah disebaliknya. Aku percaya kepada janji Allah bahawa selepas setiap kesulitan ada kesenangan. Tumpuan harus aku berikan kepada yang positif.
7. Berani – ketenangan jiwa membawa kepada keberanian. Ketenangan datang dari mengingati Allah, Yang Memiliki Kekuasaan. Cukuplah Allah sebagai penolongku. Siapa yang takut jika dibantu oleh yang paling berkuasa?
8. Allah sentiasa bersamaku – ini adalah suatu pengertian yang paling bermakna bagiku. Sentiasa bersatu dengan Allah membawa rasa kekuatan, sekali gus, menjadikan aku perasan betapa kerdilnya makhluk bernama manusia di sebalik segala ciptaan Allah yang Maha Besar.
9. Kenali fitrah – Apakah yang Allah maksudkan untukku? Bagaimanakah fitrahku dapat membantuku dalam beribadah kepadanya? Itu adalah soalan yang tidak perlu aku risaukan. Aku tidak perlu tercari-cari lagi. Aku hanya perlu bersedia dan menerima kerana ianya sudah semula jadi di dalam diriku.
Teruskan pembacaan anda di sini!
\
No comments:
Post a Comment