Pages

Friday, January 23, 2009

teks perasmi - 7.12.2006

TEKS PERASMI SIMPOSIUM PENCEGAHAN DADAH

DI TEMPAT KERJA PADA KHAMIS, 7 DISEMBER 2006

Assalamualaikum wbkt

Terima kasih kepada saudari pengerusi Majlis , Yang Berbahagia Pn. Rosnani A.Rashid. Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Terengganu, Yang Berusaha Tn. Hj. Husain Embong, Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Pengerusi Majis Tindakan Membanteras Dadah ( MTMD ) Daerah Kuala Terengganu,pegawai-pegawai Agensi Antidadah, seterusnya peserta Simposium Pencegahan Dadah di Tempat Kerja, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian .…………………………………………………

Alhamdulillah, terlebih dahulu, bersyukur saya kepada hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmat dan izinNya, kita dapat bersama-sama berhimpun menjayakan Simposium Pencegahan Dadah di Tempat Kerja pada hari ini.

Tuan-Tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada pagi ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan tentang kegawatan penyakit sosial di kalangan generasi muda, khususnya penyalahgunaan dadah.

Dadah hari ini bukanlah dadah yang boleh dicuba-cuba. Dadah ciptaan hari ini amat berpotensi menjadikan anak-anak muda hilang pertimbangan, hilang ingatan, GILA dan hilang jati diri.

Kenapa banyak peristiwa tragis berlaku sejak kebelakangan ini? PERLU diingat!!! Bahan-bahan atau ramuan untuk mencipta dadah tiruan yang dikenali dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ecstasy mengandungi bahan-bahan kimia beracun seperti racun tikus, debu klorin, bateri kering, debu kaca, ubat nyamuk dll. Akibatnya, ianya merosakkan system saraf otak dan organ-organ dalaman seperti hati, buah pinggang, pembuluh darah, jantung serta boleh mengakibatkan kematian mengejut. Ini bermakna jangkahayat pengguna dadah sintetik dalam lingkungan antara 1 hingga 5 tahun sahaja jika diguna setiap hari.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Walaupun perangkaan menunjukkan Negeri Terengganu berada daIam ranking ke -14 berbanding dengan negeri-negeri lain,dengan bilangan seramai 173 penagih dikesan mengikut negeri bagi Januari-Septmber 2006, kita semua jangan alpa, lalai ibarat “ sudah terantuk baru tergadah ”. Belia/Beliawanis adalah majoriti penduduk negeri Terengganu terutamanya di Kuala Terengganu. Mengikut statisik bagi Januari-September 2006, seramai 1,694 orang penagih dikesan dari sektor perkhidmatan di seluruh negara berbanding di sektor pengurusan seramai 163 penagih dikesan.Oleh itu, saya menyeru agar kita semua yang berada di dewan ini agar dapat menghindarkan diri dan persekitaran tempat kerja dari penyalahgunaan dadah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dari bulan Januari-September 2006, seramai 2213 penagih Amphetamine Type Stimulan (ATS) dikesan di seluruh negara berbanding 6145 penagih heroin dikesan. Ramai antaranya yang telah mati akibat HIV/AIDs, hilang, hancur rumahtangga dan hidup sengsara sepanjang hayat. Bagaimanapun,tidak dinafikan ada yang bernasib baik, cepat-cepat insaf setelah ditangkap polis. Oleh itu, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada tuan-tuan agar mengambil berat permasalahan dadah. JANGAN TUNGGU sehingga keadaan parah, anak memyembelih ibubapa, merompak, mencuri, meragut dan agresif, ganas sehingga mengancam nyawa orang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jadikanlah usaha membanteras dadah sebagai satu agenda perjuangan setiap majikan, setiap individu pekerja. Pelihara setiap inci persekitaran tempat kerja kita dari penyalahgunaan bahan psikoaktif . Awasi pekerja kita, Perhatikan tingkahlaku mereka. Bagaimanapun, belum agak terlewat untuk kita sama-sama memerangi dadah habis-habisan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhir sekali, majikan perlulah mempunyai pengetahuan sekurang-kurangnya perkara asas tentang dadah dan bahayanya dan membudayakan hidup sihat tanpa dadah di tempat kerja khususnya dam masyarakat amnya. Dengan memahami dan mengetahui bahaya dadah, majikan akan dapat membimbing pekerja-pekerja supaya menolak dadah.

Ketahuilah bahawa seseorang yang telah menagih dadah AMAT SUKAR UNTUK DIPULIHKAN. Oleh itu, mencegah seseorang daripada terlibat menagih dadah adalah lebih baik daripada merawat.

Sekian, wabillahitaufik wahidayah, Assalamualaikum wbkt.

No comments: