Pages

Thursday, November 13, 2008

Mencari Kedamaian Dengan Bertaubat.

BERTAUBAT daripada dosa dan kesalahan merupakan kaedah terbaik untuk mengembalikan ketenteraman jiwa.
Dorongan dan anjuran untuk bertaubat dalam al-Quran sangat jelas. Firman Allah: ‘Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri’ - Surah al-Baqarah: 222.
Nabi Adam pernah melanggar perintah Allah dan melakukan taubat. Firman Allah: ‘Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.’‘Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: ‘Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di Bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati). Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya) , lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
‘Kami berfirman lagi: ‘Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui rasul-rasul dan kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita’ - Surah al-Baqarah: 35- 38).
Nabi Musa juga pernah bertaubat daripada kesalahannya kepada Allah. Ketika Allah berbicara kepada Nabi Musa dan membuatnya boleh mendengar kata-kata-Nya, Nabi Musa meminta agar dia boleh melihat Allah, sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh sesiapa. Dia berkata, ‘Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku agar aku dapat melihat Engkau’ - Surah al-’Araf: 143.


Lalu Allah menegur permintaannya dengan firman; ‘Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur’ - Surah al-’Araf: 144.
Selain Nabi Adam dan Nabi Musa, nabi-nabi yang lain turut pernah memohon keampunan Allah kerana ujian yang dilalui.
Taubat memberi kesan psikologi yang sangat bermakna kepada individu. Seluruh kehidupannya berubah biar pun sebelumnya dia merupakan seorang yang lalai.
Kisah Dinar Al-Ayyar yang derhaka kepada ibunya dapat dijadikan contoh. Dinar Al-Ayyar, sebenarnya dia seorang lelaki sangat tidak mengendahkan nasihat daripada ibunya.
Jarang sekali kata-kata nasihat, teguran kasih-sayang dan suruhan yang baik diikut oleh beliau. Ketika Dinar al-Ayyar melewati kawasan kubur yang di dalamnya berselerakan tulang dia mengutip satu daripada tulang berkenaan dan didapati telah reput.
Terdetik di hatinya, ‘Ah! Beginilah akhirnya setiap orang yang hidup. Tak terkecuali diriku, tulangnya akan rosak dan tubuhnya menjadi debu. Mengapa aku masih selalu melakukan dosa?’
Dia berfikir panjang dan mula mengimbas dosanya kepada ibu yang sangat mengambil berat dirinya lalu memohon maaf. Ketika meninggal dunia ramai orang yang mengunjungi jenazahnya.
Kisah dan cerita mengenai orang, kaum dan masyarakat yang bertaubat telah banyak kita dengar.
Pelbagai keadaan yang berlaku kepada mereka sebelumnya yang membuatkan mereka sedar, mula mencari arah dan kembali kepada Tuhan.
Dalam hati setiap daripada kita, jauh di sudut hati, keinginan untuk mengakui kesalahan dan kehidupan sentiasa membuak-buak dan ternanti-nanti masa yang sesuai.
Penyesalan yang bersungguh-sungguh, berjanji untuk tidak lagi mengulangi perbuatan jahat yang mendatangkan dosa dan maksiat kepada Allah, insya-Allah akan diterima taubatnya kerana janji Allah dalam firmannya yang bermaksud: ‘Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan’ - Surah asy-Syura: 25.
Galakkan untuk segera bertaubat adalah untuk meraih tempat yang mulia di sisi Allah. ‘Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa’ - Surah ali-Imran: 133.
Sumber : Kosmo

2 comments:

ummu faqeh said...

hanya dengan bertaubat jer..kedamaian dapat dicari..

ummu faqeh said...

andaiku tahu..

SYUKURI NIKMATNYA!

font



I changed my font at thecutestblogontheblock.com

MUTIARA AL-QURAN اللؤلؤة قرآن كريم

TABAHKAN HATI KAMI!