Pages

Wednesday, July 27, 2011

Hakikat Memberi Indah Bahagia

Bismillah Wal hamdulillah.

Sudah hampir sebulan blog ini tidak diupdate.
Terlalu banyak komitmen yang perlu dibahagi2kan sekarang.
Namun teringat pesanan seorang kawan..
Semakin banyak hak manusia yang kita tunaikan di siang hari, 
maka semakin bergandalah hak Allah yang sepatutnya kita tepati di malam hari, 
agar amal kita itu tidak akan bertebangan seperti debu tanpa sebarang nilai di sisiNya, nauzubillah. 
Makin banyak senyum dengan manusia, 
maka makin perlulah banyak menangis dengan Allah :)
Di sini dikongsikan satu artikel yang amat menyentuh nurani.
Semoga kita semua mendapat manfaat darinya.
Dan semoga pahala kebaikan akan sentiasa mengalir kepada penulis ini,amin!

Hidup ini indah jika segala2nya kerana Allah semata2.


~ Hakikat Memberi Indah Bahagia ~

Sumber dari sini.

Ku menyusun sepuluh jari meminta ampun pada Allah atas segala salah dan silapku. Ya Allah, sepanjang kehidupan ini sudah terlalu banyak Engkau berikan nikmat dan kelebihan yang tidak terhingga kepada ku. Hinggakan banyaknya nikmat yang Engkau berikan itu belum pun sempat untukku minta padaMu. Alhamdulillah. Segala puji bagiMu ya Allah.

Kelebihan itu dan ini. Semuanya adalah pinjaman buat kita. Tidak ada daya dan upaya yang mampu kita gencarkan andaikata semua ini bukan lagi dipinjamkan kepada kita. Kita hanya biasa. Bahkan ingin menjadi luar biasa pun adalah dengan izin dari Allah.

Saya. Anda. Kita. Sejauh mana kita menghargai nikmatNya. Sedarlah wahai diri yang sentiasa lupa dan alpa. Allah memberi untuk kita memberi. Bukan untuk kita guna kebolehan yang kita ada itu untuk mengangkat diri, dijulang menjadi perwira dunia, diiktiraf menjadi ketua pada segala-galanya dan meletakkan diri kita sebagai orang yang paling berkuasa semata-mata.

Yang sedihnya, ramai yang tidak merasai dan memahami akan hakikat ini. - teguran untuk hati.

Yang paling bahagia. Memberi atau menerima?

Jika mahu dihitung akan nikmat Allah kepada kita, nescaya tidaklah mampu dengan daya dan upaya setitik air laut cuma. Namun, sejauh mana kita menghargai nikmat yang Allah bagi kepada kita dengan memberi kebaikan kepada orang lain?

Siapa yang lebih cinta maka dialah yang lebih banyak memberi. Dengan ini orang yang kurang memberi, itu petanda 'kurang'nya cinta. Apabila kurangnya rasa cinta, tergugatlah persaudaraan dan rengganglah persahabatan.

Oleh sebab itu, hidup ini hanya akan harmoni apabila kita banyak memberi bukan menerima. Kita manusia telah memikul banyak peranan sebagai hamba Allah. Tugas hamba Allah yang sejati adalah untuk memberi kebaikan - buat diri sendiri, orang lain hatta persekitaran.

Malangnya, dalam hidup ini ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat, bukan memberi. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. 

Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Tidak kiralah dalam keadaan kita inginkan ganjaran dunia mahupun pangkat yang menipu daya.

Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. Begitu juga dengan diri saya dan anda. Bukan untuk bertanding, tetapi untuk kita lengkap-melengkapi antara satu sama lain. 

Kekayaan sebenar bukan pada banyak memiliki

Ya. Pasti ramai yang tidak akan setuju akan hal ini. Masakan mampu menjadi kaya jika apa yang kita ada diberikan kepada orang lain. Ada lima ringgit. Disedekahkan kepada fakir miskin tiga ringgit. Bakinya sudah pasti dua ringgit. Ia tidak akan menjadi lapan ringgit. Betul tak? Jadi, dimana untungnya? 

Untuk menjawab persoalan itu, ayuh sama-sama kita selusuri satu-persatu dengan kebersihan hati. Moga ada manfaatnya.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyaknya 'memiliki' tetapi kerana banyaknya 'memberi'. Inilah hakikat sebenar yang perlu saya dan anda terima dan sedar. Kerana kadang-kadang hakikat ini tidak mampu kita lihat dengan pancaindera mata tetapi mampu dibaca dengan mata hati sanubari. 

Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi sedar atau tidak kita telah meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita hanya menerima, kita hanya meningkat kualiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Maka, jangan kita mudah tertipu dan tertukar antara alat dan matlamat.

Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian kita. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Tidak kiralah samada memberi harta, nasihat serta sokongan, pertolongan, bantuan bahkan senyuman. Perhatilah..

Kita akan gembira bila kaya jiwa

Berapa ramai orang yang kaya hartanya tetapi miskin gembiranya? Berapa ramai orang yang kaya anak-pinaknya tetapi miskin keceriaan rumah tangganya? Berapa ramai yang kaya pangkatnya tetapi miskin ketaatan orang bawahannya? 

Berapa ramai orang yang kaya makan minumnya tetapi miskin kesihatannya. Berapa ramai orang yang kaya kawan-kawannya tetapi miskin senyumannya? Berapa ramai orang yang kaya pengetahuannya tetapi miskin peribadinya?

Kenapa semua ini boleh terjadi? Bukankah mereka juga tergolong dalam golongan orang yang 'kaya'? Maka jawapannya hanya satu.. mereka tidak kaya pada tempat sebenar. Tempat sebenar yang bernama jiwa. Disitulah lubuk kegembiraan yang sebenar. 

Bagaimana kita ingin menjadi orang yang kaya jiwa? Semestinya banyak cara. Salah satunya kita membahagiakan orang yang berada di sekeliling kita. Sebab orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insyaAllah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah.

Saya tertarik dengan satu kata-kata para cendiakawan. Mereka mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang yang berada di samping kita tidak bahagia. Ertinya, Kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Akhir : Berikanlah apa yang Allah beri kepada kita

Erm.. Sewajarnya kita sama-sama hamba perlu berfikir bagaimana untuk memberi. Tidak kisah samada melalui penulisan nasihat, pengucapan awam, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, senyuman ceria, pertolongan mahupun bantuan, kasih sayang dan sebagainya. Asalkan kita sedaya-upaya memberi.

Berikanlah apa yang Allah beri kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita.  Jangan jadi seperti Qarun yang mengganggap kekayaan diri adalah miliknya. Kesannya bukankah kemusnahan adalah pengakhirannya?

Ya kita yang memerah keringat. Kita yang penat berfikir. Kita yang berusaha dan merancang sesungguh-sungguhnya. Tetapi perlu juga kita bertanya kepada hati. Dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera hakikatnya milik siapa?

Wahai teman-temanku,

Semua itu bukan milik kita. Bukan milik kita... segala-galanya milik Allah. Kita bukan pemilik. Kita hanya peminjam sahaja. Justeru, bisakah kita masih berlagak sombong dan angkuh? Bisakah kita mampu berjalan di atas muka bumi ini dengan melupakan 'semut' di tanah? Ya Allah.. banyaknya kesilapan dan kesalahan diri kami. Ampunkan kami ya Allah.

2 comments:

ummu said...

assalamualaikum ummu Faqeh
subhanallah maha suci Allah
masha Allah diri ini terasa kerdilnya
tak termampu rasanya emnggalas tanggungjwab cinta ini,namun itulah kehidupan kita sebagai khalifah Allah...
salam ramadhan daripada saya di pahang.wassalam

ummu faqeh said...

waalaikumusslam..ummu.
Memang berat sebenarnya tgjwb menjadi khalifah di muka bumi ini.semua makhluk tidak mahu menggalasnya..hanya manusia yang diberi tgjawab yang berat ini..salam ramadhan juga untuk ummu...