Pages

Friday, December 28, 2012

Pesanan Untuk Anakku...


C&P
Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)


Wahai anakku,
 Hargailah persahabatan yang ikhlas kerana Allah, kerana ia kekal dalam redha Allah. Bilamana Allah utus kepadamu seorang sahabat yang baik akhlaknya, tekun menjalankan perintah Allah, tenang menghadapi ujian Allah, sesungguhnya DIA telah mengutuskan kepadamu seorang guru yang baik untuk kamu mempelajari kebaikan darinya.

Untuk itu wahai anakku, pelajarilah dari sahabatmu itu kecintaan kepada Allah, merasai kasih sayangnya agar engkau akan takut kepada kemurkaanNya dan sangat mengharap redhaNya.
 


Wahai anakku,
 Syaitan berusaha merosakkan persahabatan baik itu dengan memasukan nilai kejahatannya. Ia akan berusaha memisahkan kamu dari sahabat yang baik itu. Kasihsayang mu kerana Allah akan bertukar kepada kecintaan melampau kepadanya; sehingga kamu nampak diri sahabatmu lebih besar dari Allah. Lalu kamu akan menghargainya lebih dari Allah yang mengutuskan ia kepadamu. Kamu bangga dengannya sehingga kamu terlalai dari bangga dengan Allah yang sentiasa memeliharamu. Engkau akan rasa rindu kepadanya, sehingga kamu tidak lagi merindui Tuhanmu. Engkau akan menangis kerananya, tetapi kamu tidak menangisi dosamu terhadap Allah.




Wahai anakku,
 Betapa gembiranya kamu menerima surat yang disampaikan oleh seorang posmen, janganlah sampai kamu lupa kepada yang menulis surat kepadamu. Engkau menunggu- nunggu kedatangan posmen ke rumahmu setiap hari, tetapi kamu tidak menanti redha Tuhanmu. Engkau akan membaca catatan sahabatmu yang kamu cintai itu berkali kali, tetapi kamu tidak membaca lagi peringatan Allah 
( Quran) yang dikirim kepadamu.
 

Wahai anakku,
 Syaitan sangat licik menipu manusia, kini kamu kasih kepada sahabatmu kerana kamu rasa hebatnya sahabatmu, baiknya dia, penyanyangnya dia dan pelbagai alasan, sehingga bayangannya lebih besar dari Allah. Untuk itu wahai anakku, besarkanlah kasih sayangmu kepada Tuhanmu, nescaya akan datang kasih sayang makhluk Allah kepadamu. Jagalah segala perintah Allah, nescaya Allah akan memelihara persahabatanmu, dan jangan sesekali kamu lakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah dalam persahabatanmu, kerana hakikatnya setiap manusia akan berpisah juga akhirnya, namun kamu tidak akan berpisah dengan Allah.
 

Senyumlah dalam ketaatan...... Tanda redha kepada Tuhanmu..

No comments: