Pages

Saturday, November 17, 2012

Urdun~ Jordan

Ya Allah Jadikan negara kami ini negara yang aman damai.~Jordan tengah bergolak sekarang.








Bismillah Walhamdulillah..

Video di atas suasana selepa solat Jumaat semalam, 16 November 2012 di Irbid,bandar tempat tinggal kami sekarang...

Update dari status2 syabab di Irbid.

Kali pertama berlaku sepanjang 6 tahun di jordan...

اللهم صل على محمد و على آل محمد
Jumaat pertama Muharram hari ini terasa syahdu.
Angin bertiup kencang dengan kesejukan syitak yang kian mengganas.

Khutbah Jumaat hari ini telah disampaikan oleh guru kami yang mulia di Universiti Yarmouk, Dr Saed Bawaeneh.
Khutbah dimulakan dengan madah-madah syair yang sungguh indah nukilan Al Imam As Syafie.

إذا المرء لا يرعاك إلا تكلفا
فدعه ولا تكثر عليه التأسفا

ففي الناس أبدال وفي الترك راحة
وفي القلب صبر للحبيب ولو جفا

فما كل من تهواه يهواك قلبه
ولا كل من صافيته لك قد صفا

إذا لم يكن صفو الوداد طبيعة
فلا خير في ود يجيء تكلفا

ولا خير في خل يخون خليله
و يلقاه من بعد المودة بالجفا

و ينكر عيشا قد تقادم عهده
و يظهر سرا كان بالأمس قد خفى

سلام على الدنيا إذا لم يكن بها
صديق صدوق صادق الوعد منصفا

Kemudian beliau menyentuh sedikit berkenaan awal muharram, sebelum isu meleret kepada topik panas; kenaikan harga minyak dan barang.

Antara kalam-kalam terakhir khatib yang dapat saya tangkap sebelum beliau menamatkan khutbah adalah seperti berikut;

"Wahai sidang Jumaat! Berkenaan dengan kenaikan harga minyak petrol, adalah di sana kebaikan yang kita dapat. Siapakah yang memandu kenderaan? Ketahuilah, dengan kenaikan ini kita dapat mengekang para pemuda daripada keluar berpeleseran pada lewat malam."

Tiba-tiba, beberapa pemuda di koridor tengah masjid bangkit, melaungkan takbir dengan kuatnya. Mereka menjerit-jerit, memarah-marah khatib dan meminta khatib turun dari mimbar lalu memberhentikan khutbah. Ada juga yang menemplak, ini adalah kezaliman! Siapakah yang memandu kenderaan sebenarnya?

Khatib beristighfar panjang, memohon semua bertenang, berdoa kepada Allah dan menyempurnakan rukun di dalam khutbah sebelum iqamah dilaungkan, tanda solat Jumaat akan dimulakan.

Namun, kedengaran para jemaah masih sibuk melaung takbir, bertengkar, bising dan tidak menghormati rumah Allah. Sungguh, Syeikh Makmun As Syamali, imam besar Masjid Nuh Qudoh Universiti Yarmouk melaung meninggikan suara. Beliau marah.

"Betaqwalah kepada Allah! Bertaqwalah kepada Allah! Ini rumah Allah !"

Solat pun dimulakan, tatkala itu semua jemaah menjadi senyap. Imam membacakan surah Al Baqarah Ali Imran ayat 102 hingga ayat 108 sewaktu rakaat pertama dan surah At Taubah ayat 34 hingga ayat 40 pada rakaat kedua. Seusai solat beliau membacakan doa, memohon dilembutkan hati para jemaah, memohon keamanan dan keselamatan tanah air, memohon mengembalikan para pemimpin kepada keadilan dan ketaatan kepada Allah serta jauh dari malapetaka dan bala bencana, juga ketaqwaan yang berterusan pada Allah yang Maha Kuasa.

Dengan nada yang tegas, Syeikh Makmun mengingatkan kepada para jemaah seusai berdoa;

"Kata-kata khatib itu tadi ada betulnya. Beliau itu sedang berkhutbah. Kita ini di rumah Allah. Hormati rumah Allah! Bukan disini kita meninggikan suara. Bertaqwalah kepada Allah!!!"

Lantas, kedengaran suara-suara jemaah diluar masjid berteriakan. Melaungkan takbir, menjerit kata-kata semangat menandakan demonstrasi sedang berlaku di luar.

Orang sudah mula ramai. Polis juga begitu. Kelihatan 4 buah van polis berdekatan dengan masjid. Para pegawai polis berarak bersama kayu cota di tangan dan topeng mula, perisai serta pakaian keselamatan di badan. Jalan Shareek Jamiah dari Duwar Nasim ke Duwar Jamiah sudah ditutup.

Rakyat semua bersorak kuat, dan kelihatan ketua mereka melaungkan suara bersama pembesar suara di tangan. Terdapat juga beberapa juruvideo dan jurufoto dalam kelompok manusia tersebut. Ada juga yang mengibarkan bendera negara Jordan.

Sesungguhnya hari ini hari yang penuh dramatik. Kalam-kalam Syeikh Makmun telah membuatkan hati saya tersentuh.

Kami memohon kepada Allah agar keselamatan, kesejahteraan dan rahmat Allah sentiasa bersama kami semua, khususnya rakyat Malaysia di bumi Jordan.

Allahumma amin.





2 comments:

ummu said...

assalamualaikum ukhti fid din
semoga Allah berikan keamanan kpd negara kita.amin

ummu faqeh said...

waalaikumussalam ummu.aaamin ya robb,amin!